Tragedi #MH370;Siapa benar, Hishammuddin atau CNN?

Jumaat 10 Jamadilakhir 1435 / 11 April 2014

 

FortunaMedia.com |Tragedi #MH370 Hari ke-34.Siapa benar, Hishammuddin atau CNN?

LIM KIT SIANG

Keluarga -kerabat 239 penumpang dan anak kapal MH370 yang sedang berduka, rakyat Malaysia, dan warga dunia amnya,menerima satu lagi kejutan pada hari ke-34 kehilangan pesawat itu apabila CNN melaporkan bahawa Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah menghantar pesawat pencari pada pagi pesawat MAS MH370 hilang, iaitu pada sekitar jam 8 pagi, tetapi tidak memaklumkan langkah tersebut kepada pihak berkuasa sehingga tiga hari kemudian dan kemudian dikejutkan pula oleh penafian Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.



CNN kemarin melaporkan bahawa menurut seorang pegawai tinggi kerajaan Malaysia dan satu lagi sumber yang terlibat dalam siasatan, “pesawat pencari pasukan tentera udara Malaysia telah dikejarkan pada sekitar jam 8 pagi, sejurus selepas Malaysia Airlines (MAS) melaporkan pesawatnya hilang pada awal 8 Mac.”

Menurut laporan itu, pesawat telah dikejarkan sebelum pihak berkuasa mengesahkan data yang menunjukkan bahawa Boeing 777 terbabit telah berpatah balik dari laluan asalnya.

Sumber yang tidak dinyatakan namanya itu menyebut bahawa TUDM “tidak memaklumkan kepada Jabatan Penerbangan Sivil atau operasi mencari dan menyelamat sehingga tiga hari kemudian, iaitu pada 11 Mac.”

Ia seterusnya melaporkan bahawa pesawat MH370 telah hilang dari radar tentera 120 batu nautika setelah ia kembali melintasi Semenanjung Malaysia.

“Berdasarkan data yang ada, bererti pesawat itu telah menjunam ke altitud 4,000 hingga 5,000 kaki,” dakwa pegawai kanan kerajaan terbabit.

Hishammuddin menafikan laporan CNN itu dan menyifatkannya sebagai “dakwaan palsu.”

Siapa yang berkata benar, Hishammuddin atau CNN?

Sukar untuk mempercayai laporan CNN, melainkan jika ia sanggup mendedahkan nama “pegawai kanan kerajaan Malaysia dan sumber lain” yang dapat mengesahkan laporannya.

Namun, melihat pada penyaluran maklumat yang tidak sekata selama ini, selain bermacam kekeliruan dan percanggahan yang telah ditimbulkan, juga pelbagai tindakan tidak sekata, serta mengambil kira jurang maklumat yang begitu besar sejak 35 hari lalu, penafian Hishammuddin itu tidak memadai, tidak memuaskan dan sukar untuk diterima begitu saja.

Jika Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) berkenaan MH370 telah ditubuhkan sebelum Dewan Rakyat ditangguhkan kelmarin, tentu ia boleh berperanan sebagai badan yang sesuai untuk menyiasat kesahihan laporan CNN tentang tindakan TUDM menghantar pesawat pencari pada pagi MH370 hilang tetapi tidak melaporkannya kepada pihak berkuasa hingga tiga hari selepas itu dan tentunya PSC boleh mengeluarkan laporan yang berwibawa untuk membuktikan kebenaran penafian Hishammuddin serta melenyapkan segala keraguan tentang perkara itu.

Malah, PSC bukan saja mampu untuk mempastikan sama ada TUDM telah menghantar pesawat pencari pada pagi 8 Mac itu, malah juga mempastikan:

[?] Sama ada benar pesawat pencari TUDM dikejarkan untuk mencari setelah radar tentera mendapati MH370 telah melencong dari laluan asal dari Kuala Lumpur ke Beijing, atau mengapa pesawat itu tidak dikejarkan sejurus saja ia melencong, antara jam 1.40 dan 1.45 pagi, kerana sekurang-kurangnya dua pesawat Sukhoi-30 milik TUDM boleh dikejarkan dari Gong Kedak untuk memintas MH370 di ruang udara Kelantan; dan

[?] Mengapa sekali lagi MH370 tidak dipintas sewaktu ia menghampiri Pulau Pinang dan dikesan oleh radar tentera di Butterworth, walaupun skuadron jet F/A TUDM berada dalam keadaan bersedia 24-jam di pangkalan udara Butterworth.

Persoalan di atas dan banyak lagi persoalan lain berkaitan MH370 menanti untuk dijawab sejak 35 hari lalu, tetapi seperti yang saya sebut dalam dewan Parlimen di depan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Hishammuddin sendiri pada 25 Mac (hari ke-18 kehilangan MH370) saya bersetuju bahawa keutamaan kita ialah untuk meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR), manakala persoalan lain yang berbangkit tentang tragedi ini, termasuk persoalan tentang pengurusan krisis, boleh ditangani setelah pesawat serta penumpang dan anak kapal ditemui.

Hari ini masuk hari ke-35 MH370 hilang. Saya baru saja menerima laporan bahawa stesen radio Perth telah mengumumkan “laporan belum disahkan menyebut bahawa kotak hitam pesawat Malaysia Airlines MH370 telah ditemui.” Laporan itu memetik pandangan seorang pakar penerbangan bahawa jika “laporan belum disahkan ini cukup kukuh untuk kita mengatakan bahawa kotak hitam telah ditemui, itu cukup untuk kita meluncurkan Bluefin 21 ke dasar laut dan mengambil gambar atau memindai dasar laut dengan pemindai sonar.”

Saya harap laporan itu benar kerana keluarga 239 penumpang dan anak kapal telah lama menanti penyudah kepada tragedi ini.

Bagaimanapun, selepas 35 hari bencana MH370, saya percaya bahawa kita telah sampai ke tahap di mana keluarga 239 penumpang dan anak kapal MH370 mahukan jawapan kepada seribu-satu persoalan yang timbul berkaitan tragedi ini, maka proses untuk mencari jawapan perlu dimulakan dengan segera tanpa lengah.

Dalam keadaan ini, laporan CNN dan penafian Hishammuddin tentang tindakan TUDM menghantar pesawat pencari pada pagi 8 Mac itu memarakkan lagi keraguan tentang kesanggupan kerajaan untuk bersikap telus sepenuhnya, apatahlagi kerana sebelum ini ia mengingkari janji untuk memberi maklumat kepada Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan enggan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Parlimen MH370.

Atas alasan ini, saya meminta Perdana Menteri mengotakan kata-katanya bahawa Malaysia tidak cuba menyembunyikan sesuatu dengan sekurang-kurangnya memenuhi dua janj yang setakat ini telah dimungkiri – memberikan taklimat kepada Ahli Parlimen Pakatan Rakyat tentang tragedi MH370 dan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Parlimen berkenaan tragedi MH370.

__________________
Sumber; roketkini.com
Shared  by Romy Mahakam

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s