Mejar Zaidi Ahmad Juruterbang TUDM Diburu Bagai Penjenayah

Sabtu 14 Rabiulakhir 1435 / 15 Februari 2014

Editor by Wilhelmina

FortunaMedia.com | Mejar Zaidi Ahmad Juruterbang TUDM Diburu Bagai Penjenayah

Pemimpin DAP, Lim Kit Siang hari ini mempersoalkan tindakan Putrajaya mendakwa juruterbang Mejar Zaidi Ahmad kerana mengadu mengenai dakwat kekal Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sementara membiaran sahaja “jerung besar yang rasuah, mencuri ratusan juta ringgit hartanah dan kekayaan, berlagak bebas tanpa hukuman dan menikmati imuniti”.


“Zaidi melakukan apa yang setiap warganegara Malaysia mahu buat, dia bercakap benar mengenai dakwat kekal yang digunakan dalam pilihan raya lalu kerana ia memang mudah dibasuh dan boleh tanggal.

“Penggunaan Akta Angkatan Tentera 1972 terhadap Zaidi menunjukkan pemimpin ketenteraan tidak ada pendirian dan mengambil perintah daripada pemimpin politik,” kata ahli Parlimen Gelang Patah itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Lim juga mendesak Najib dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk campur tangan dan menarik balik semua tuduhan terhadap Zaidi, yang berdepan hukuman penjara dua tahun, jika sabit kesalahan.

“Jika Zaidi dihantar ke penjara, kedua-duanya Najib dan Hishammuddin patut rasa malu dan segan di mata dunia. Tetapi, mereka nampaknya membisu dan tidak sensitif,” katanya.

Beliau berkata, ketika Zaidi membuat laporan polis mengenai kegagalan dakwat kekal, beliau bertindak atas kapasiti sebagai pengundi dan rakyat Malaysia.

“Beliau bukan membuat laporan polis atas kapasti juruterbang TUDM.

“Mana lebih tinggi, kesetiaan kepada Perlembagaan Persekutuan atau peraturan birokrasi dan syarat dalam perkhidmatan ketenteraan,” katanya.

Beliau berkata, jika Putrajaya tidak bersedia untuk menarik balik semua tuduhan terhadap Zaidi, maka beliau akan membangkitkan isu itu dalam sidang Parlimen yang akan bermula pada 10 Mac.

Zaidi membuat laporan polis selepas dakwat kekal di jarinya hilang apabila dibasuh hanya beberapa jam selepas mengundi dalam PRU13.

Beliau kini dihadapkan di Mahkamah Tentera dengan beberapa tuduhan melanggar perintah Majlis Angkatan Tentera Malaysia, membuat kenyataan kepada media tanpa kebenaran Kementerian Pertahanan, dan menghantar dua kiriman pesanan ringkas (SMS) yang bersifat politik.

Beliau didakwa pada 7 Februari di Mahkamah Tentera di Kuala Lumpur. Kes itu akan didengar enam panel anggota pada 8 April.

Di samping itu, beliau juga dibekukan daripada menjalankan tugas sebagai juruterbang dan terpaksa  bertugas di jabatan am.

Zaidi mendapat sokongan daripada sebuah NGO pro PKR, Pahlawan, kumpulan bekas askar yang berkata juruterbang itu menjadi mangsa Putrajaya sebagai contoh bagi menakutkan semua anggota tentera daripada menjalankan hak-hak mereka sebagai warganegara.

Pahlawan berkata, ia tidak masuk akal apabila menggunakan undang-undang ketenteraan berusia 40 tahun bagi menyalahkan juruterbang berkenaan kerana membuat laporan polis.

Gabungan Pilihanraya Bebas dan Adil (Bersih 2.0) dalam status Facebook baru-baru ini juga menyokong Zaidi dengan menyatakan beliau secara jelas menjadi mangsa tentera dan kerajaan.

Bersih 2.0 mempersoalkan mengapa Zaidi yang menjadi pemberi maklumat dalam kes ini, dikenakan tindakan mahkamah manakala SPR dibiarkan lepas begitu sahaja.

“Kerajaan jelas berniat untuk menjadikan Mejar Zaidi sebagai contoh bagi menyampaikan mesej kepada orang lain, terutama pasukan bersenjata tentera dan penjawat awam agar tidak bertindak walau dalam apa keadaan sekalipun hatta demi keadilan.

“Apa yang kerajaan tidak sedari ialah Mejar Zaidi sudah pun menjadi contoh – yang patut dicontohi dan bukan dielak – suatu kejujuran, integriti, dan keberanian.”

Beliau berkata, kerajaan sepatutnya malu kerana berkelakuan jahat dan sempit terhadap juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membuat laporan polis terhadap dakwat kekal yang digunakan dalam pilihan raya pada 5 Mei lalu.

“Mengapa pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak degil dan tidak bertimbang rasa sehingga mereka lebih memilih mendakwa Zaidi menggunakan undang-undang ketenteraan yang berusia 40 tahun(TMI)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s