Charles Santiago Kecam Serangan Racist terhadap Teresa Kok

Ahli Parlimen DAP Klang, Charles Santiago

Selasa 10 Rabiulakhir 1435.

FortunaMedia.com | Charles Santiago kecam serangan perkauman dan seksis terhadap Teresa Kok,
Ahli Parlimen DAP Klang, Charles Santiago mengecam tindakan pemimpin UMNO yang diam seribu bahasa terhadap kutukan bersifat seksis dan berbaur perkauman terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim.

Beliau berkata, tindakan itu jelas membuktikan UMNO memang sengaja mewujudkan strategi ketakutan untuk mengekalkan kuasa.

 

“Saya bersetuju bahawa sesiapa saja mempunyai hak untuk tidak menyukai klip video Teresa Kok dan mengkritiknya. Tetapi bukannya mengambil sebahagian dan menjadikannya sebagai satu isu untuk memecahbelah serta membenarkan keganasan.

“Penyokong pembuli dan orang UMNO begitu sibuk memburuk-burukkan Teresa Kok dengan serangan seksis di ruang siber tetapi kita tidak mendengar sebarang respon daripada pemimpin kerajaan pemerintah.

 

“Adakah kita berpuas hati dengan mengajar anak-anak kita bahawa ia tidak menjadi masalah untuk bercakap menggunakan bahasa ‘longkang’ terhadap wanita, membiarkan ancaman, keganasan, sentimen perkauman dan agama untuk keuntungan peribadi?,” tegasnya dalam kenyataan, hari ini

 

Beliau turut menyelar kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengetepikan gesaan supaya siasatan dilakukan terhadap bantahan sembelih ayam kepada pemimpin DAP dan PR termasuk Teresa.

Santiago yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Selangor turut menegaskan, klip video itu jelas tidak langsung mengandungi sebarang unsur penghinaan terhadap pemimpin, maruah Melayu, raja dan Islam.

“Video itu adalah satu sindiran politik terhadap kenaikan harga barang, rasuah dan isu lain yang dihadapi rakyat setiap hari.

“Tidak bolehkah kita mengkritik pemimpin? Mengapa rakyat tidak boleh membantah dasar kerajaan yang merugikan?

“Mengapa rakyat tidak boleh mempertikai urus tadbir yang buruk? Dan mengapa mesti hak rakyat untuk mengemukakan soalan dan jawapan dilihat sebagai penghinaan?,” soalnya.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga harus menyatakan pendiriannya berhubung isu ketegangan kaum daripada ia bertambah buruk.

“Kerajaan berjuang selama bertahun-tahun untuk kekal relevan dan ternyata gagal. Najib mesti menyatakan pendiriannya sekarang untuk mengelak ketegangan agama dan kaum daripada terus meningkat,” ujarnya.

Sumber :Roketkini.com
Editor by Wilhelmina

Leave a comment