#Borneo 50 tahun bersama Malaysia[1] Mewarisi Kemunduran di Negeri Kaya


Semporna -SABAH

Editor by Wilhelmina

Borneo 50 tahun bersama Malaysia .PEMANDANGAN hujung tanah Borneo, Tanjung Simpang Mengayau membuatkan saya tertegun dibelai angin lembab Laut China Selatan yang bercampur udara Laut Sulu. Lelah perjalanan jauh terhenjut-henjut dan perlahan dari Kota Belud menuju Kudat hampir sahaja hilang melihat pemandangan yang tidak pernah saya temui di Semenanjung.

Berada dalam bas menempuh jalur bandar ke pekan, pekan ke kampung, kampung ke ladang dan ladang ke hutan; pasti membuahkan pelbagai persoalan dan persepsi baru. Sudah tentu, menelusuri jalan raya di Sabah, bakal menemukan anda dengan pelbagai rasa dan pengalaman.
Tanda tanya dan misteri terhadap Sabah, antara negeri terkaya di Malaysia ini sudah terjawab. Biar hanya tujuh hari tujuh malam melata di bumi negeri Di Bawah Bayu ini, segala propaganda slogan ‘Sabah maju bersama Barisan Nasional (BN), Rakyat Diutamakan’ sudah layak dimasuk bakul sampah. Semuanya indah kabar daripada rupa.

Yang indah hanya budi dan santun masyarakatnya yang ramah dan baik, yang cantik ialah pemandangan hijau dan gunung-ganang terpasak kukuh, yang menawan adalah kekayaan sumber alam flora dan faunanya yang masih menjalar dan membiak.

50 tahun BN buat apa?

 

Dari Kota Kinabalu, Kudat, Kota Belud, Kundasang, Ranau, Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau, begitu juga daerah kecil yang lain, saya dan teman melalui perjalanan panjang menaiki bas mendaki segenap cerun dan lembah bumi. Dan saya akui, perjalanan menaiki bas ini merupakan perjalanan paling lama dan mencabar sepanjang hidup saya.

Dari perjalanan panjang ini, saya hanya mampu menyoal apa yang dibuat kerajaan BN sejak 50 tahun lalu. Seminggu berada di Sabah sudah cukup untuk memberi gambaran jelas diskriminasi terang-terangan kerajaan Persekutuan Malaysia yang pastinya Barisan Nasional (BN) ke atas negeri dan anak negeri ini, apa lagi anak pribumi yang datuk moyangnya termakam di situ hampir seluruh baka keturunan.

Daripada diskriminasi ini maka wujudlah masalah kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI), pendudukan tanah oleh PATI secara haram, kemiskinan, masalah kemudahan perubatan, keselamatan, bekalan air terawat, bekalan elektrik dan masalah jaringan jalan raya di seluruh negeri.

Mengumumkan peruntukan belanjawan kepada Sabah setiap tahun, menambah ruang pejabat dan kuarters penjawat awam negeri itu belum lagi cukup untuk mengakui Sabah sebagai negeri membangun.

Majoriti penduduk di luar bandar, malah di sesetengah kawasan kediaman di bandar tidak mempunyai sistem bekalan air terawat malah anak-anak masih menelaah mata pelajaran di bawah lampu yang dijana generator

‘Jalan-jalan’ berliku

Disebabkan keadaan jalan yang beralun-alun, menggerutu dan ditambah dengan kerosakan dan kerja baik pulih sepanjang jalan, perjalanan yang sepatutnya hanya 40 minit terpaksa memakan masa 80 minit dan jika berlaku kecemasan, anda mungkin mati dengan tidak wajar dalam ambulan atau semakin parah.

Ini adalah antara hakikat yang terpaksa ditempuh sebahagian besar warga Sabah yang duduk berjauhan daripada pusat kesihatan, hospital mahu pun bandar.

Persoalan jaringan jalan raya bukan remeh. Daripada soal hidup mati sehingga pembangunan fizikal dan modal insan, jalan raya adalah penghubung di antara dua kutub yang terpisah..

Sejarah mengajar kita bagaimana penjajah Jepun dan Inggeris sanggup menghadap gajah, harimau dan segala jenis jembalang hutan ketika membuka jalan dan landasan keretapi ketika itu demi kelangsungan ekonomi mereka. Sudah semesti, perkaitan jalan raya ini mempunyai hubungan akrab dengan keberlangsungan pembangunan ekonomi sesebuah daerah mahu pun negara.

Sabah suluk

Bukan semua orang berduitMenurut Ahli Parlimen DAP Kota Kinabalu, Jimmy Wong Tze Phin pembangunan di Sabah akan terus lembap berbanding negeri lain di Semenanjung jika jaringan pengangkutan darat tidak diberi keutamaan.

“Bukan semua orang boleh naik kapal terbang. Soal paling besar, kenapa BN tidak peduli untuk membaiki dan membina jaringan jalan raya yang sempurna,” ujar beliau.
Jimmy Wong berkata, kelembapan ekonomi ini dapat dimanifestasikan dengan pembangunan fizikal dan taraf hidup masyarakat.
Menurutnya, dengan adanya satu jaringan jalan raya atau lebuh raya yang sempurna dan baik, pembangunan Sabah akan lebih rancak kerana kemasukan pelabur dan wujudnya lebih banyak interaksi daripada masyarakat luar bandar dan bandar yang lebih baik.

“Bermulanya daripada sebuah jaringan jalan raya yang baik, pelabur akan lebih senang untuk melabur, ekonomi setempat akan lebih baik. Sebab itu kita berasa sangat hairan mengapa BN sanggup membiarkan Sabah terus berada dalam keadaan begini sedangkan apa yang berlaku di Semenanjung begitu berbeza sekali.
“Ini yang saya kata sebagai the missing link. Ia bukan hanya merujuk kepada keadaan jaringan jalan raya yang teruk, tetapi mencerminkan komitmen kerajaan Persekutuan BN kepada Sabah.

“Adakah wajar mereka melayan Sabah dengan cara ini sedangkan Sabah merupakan negeri yang banyak memberi sumbangan kepada ekonomi negara?,”soalnya.

Sampai bila Malaysia Timur akan terus jadi lubuk emas BN?

Bulan ini, genap Sarawak, Sabah dan Semenanjung Tanah Melayu membentuk Malaysia yang berusia 50 tahun. 16 September 1963 menjadi saksi sejarah pembentukan Malaysia yang berdaulat. Tanpa penyertaan dua negeri dari kepulauan Borneo itu, Putrajaya hanya akan dikenal sebagai pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya.

Malangnya, Sabah dan Sarawak terus dianggap sebagai lubuk emas, umpama pohon getah yang ditoreh setiap masa untuk susunya, bila pohon tua tidak bersusu, ia ditebang diganti pohon yang lain.

Dari lapangan terbang Tawau, saya dan teman-teman berangkat pulang ke Kuala Lumpur menitip memori berharga lakaran segar dari bumi Sabah. Wajah sugul anak-anak kecil yang berniaga di pasar Semporna terimbas ketika berada di lapangan terbang justeru membuatkan saya terfikir, apakah masih ada lagi jalan lain untuk Sabah berubah?Sumber ; Roket.com

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s